“Hinanya aku, murid miskin”. Dengan aku berbaju lusuh, murid lain jijik. Di belakang kelas, murid2 ‘nakal’ menanti peluang



 #Foto sekadar hiasan

Hinanya Si Pelajar Miskin

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Namaku Bunga Putih, berasal dari sebuah kampung yang terletak di selatan tanah air. Lahir pada tahun 80-an.

Terima kasih admin jika cerita aku ini disiarkan. Aku tak pandai mengarang tapi aku cuba untuk luahkan apa yang aku pendam dan menjadi trauma sepanjang hidup aku sehingga hari ini.

Sedikit pengenalan tentang keluargaku. Ayahku seorang “buruh kampung” yang mana kadang ada kerja, kadang tiada kerja.

Terkadang memang sengaja malas untuk pergi ke kerja dan tidur dirumah sepanjang hari. Merupakan seorang ayah yang “Baran dan berangin”.

Ibuku pula seorang suri rumah yang berusaha mencari nafkah dengan melakukan pelbagai kerja demi memastikan nasib kami terbela, cukup makan, dan bersekolah.

Bagiku, ibuku seorang bidadari yang “sangat cekal dan tabah”. Kami 5 beradik seibu sebapa dan 2 beradik seibu.

Asalnya ibuku seorang ibu tunggal yang kematian suami. Punyai 2 orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan.

Anak lelakinya sejak lahir sudah diambil orang dan dijadikan sebagai anak angkat dan seorang lagi ibuku bela sehinggalah dia bertemu dan berkahwin dengan bapaku.

Maaf terlalu panjang pengenalanku supaya pembaca faham dengan lebih mendalam isi penceritaannku nanti.

Alhamdulillah, sungguhpun kami miskin, ibu dan ayahku masih mampu untuk menyekolahkan kami semua.

Aku tidak dimasukkan ke sekolah tadika. Namun begitu, seawal usiaku 6 tahun aku sudah mampu menguasai ilmu 3M (membaca, menulis dan mengira).

Aku belajar melalui pemerhatianku daripada abang dan kakakku yang telah bersekolah.

Aku kira sekolah itu sesuatu yang menyeronokkan, tak sabar rasanya nak mulakan alam persekolahan. Temui rakan baru dan belajar ilmu baru.

Namun apa yang terjadi adalah sebaliknya. Rupanya inilah titik permulaan “hinanya aku sebagai pelajar miskin”.

Masuk sahaja sekolah ditahun 1, aku bayangkan aku akan punyai ramai kawan tetapi malangnya tiada seorang pun rakan yang sudi berkawan denganku.

Aku rasa mungkin kerana faktor pakaian ku yang lusuh (baju lama yang disedekahkan orang) membuatkan mereka “jijik” berkawan denganku.

Cikgu juga meletakkan aku di tempat duduk yang paling belakang kerana aku sudah menguasai 3M. Tempat duduk hadapan pula untuk pelajar pelajar yang belum menguasai 3M.

Loceng rehat berbunyi…. aku sekali lagi cuba mencari rakan untuk rehat bersama, namun tiada siapa yang sudi. Aku berjalan seorang diri diiringi guru kelas dihadapan.

Untuk pelajar tahun 1 kami diberikan makanan percuma, Rangkaian Makanan Tambahan (RMT), jadi kami diarahkan guru untuk makan makanan yang telah disediakan dimeja kantin.

Setiap murid mengambil makanan seorang satu dan duduk. Mereka berborak antara satu sama lain, sementara aku pelahan lahan menghabiskan makanan yang diberikan seorang diri.

Aku cuba untuk berbual dengan rakan rakan lain tetapi tidak diendahkan.

Hari hari yang berikutnya amat menyedihkan bagiku. Setiap hari aku tetap berusaha mencari “kawan” tetapi masih tiada yang sudi….

Setahun telah berlalu… aku hidup “sendiri” di sekolah. Aku tetap pergi sekolah seperti biasa, Tak pernah merungut walau tiada seorangpun yang sudi berkawan denganku.

Darjah 2 kelasku telah ditukarkan ke bangunan usang yang lama. Keadaan kelas sudah bertukar, dari berlantaikan simen, sekarang berlantaikan kayu lama.

Apa yang boleh aku gambarkan keadaan kelas ini seperti “rumah atas tradisional yang lama”.

Kelas tersebut agak panjang, tak silap aku ada 3 kelas disitu. Aku difahamkan itu bangunan sekolah dari zaman jepun lagi… betul atau tidak wallahualam…

Tukar kelas baru, aku happy sangat sangat. Dapat tempat duduk baru, tapi masih lagi dikedudukan paling belakang bersama sama pelajar lelaki yang “agak nakal”.

Keadaan kelas baru itu agak usang. Susunan lantai kayu juga tidak rapat, jadi aku boleh nampak pemukaan tanah yang ada dibawah.

Tiba tiba aku terpandang ada “kilauan silver” yang bersinar disebalik pemukaan tanah. Loceng rehat berbunyi… aku cepat cepat keluar pergi makan dikantin.

Habis makan masa masih panjang, jadi aku berlari semula ke bahagian bawah kelas mencari “kilauan silver” yang aku nampak semasa dikelas tadi.

Terbongkok bongkok aku sendirian mencari “kilauan silver” tersebut seorang diri.

Tiada seorang murid pun yang berada dikawasan kelas tersebut. Barangkali semuanya sedang makan atau sedang seronok bermain bersama rakan rakan, kecuali aku yang masih “sendiri”.

Akhirnya aku jumpa “kilauan silver” itu. “Ini duit 10 sen” getus hatiku… Aku senyum kegirangan…

Duit 10 sen itu agak buruk dan sebahagian besar permukaannya sudah diseliputi tanah. Mungkin sudah berada lama dibawah dan tiada budak yang berani untuk mengambilnya.

Mungkin juga kerana mereka takut terserempak dengan “hantu jepun”. Hehehe…

Sekarang aku dah ada aktiviti baru! Sekurang kurangnya aku tidak lagi perlu duduk seorang diri di dalam kelas sementara tunggu loceng “tamat rehat” berbunyi.

Sejak hari itu, bermula lah aktiviti baru aku mencari duit dibawah kelas.

Ada pelbagai jenis duit yang aku jumpa. Duit 1sen lama empat segi yang kaler coklat tu pon aku jumpa. Paling besar aku pernah jumpa duit 50 sen. Hehehehe….

Kadang kadang ada hari yang aku malas nak mencari duit, aku hanya akan akan duduk memerhati kawan kawan lain yang seronok bermain dari jauh.

Terhibur hatiku melihat rakan rakan yang ketawa kegirangan. Tak dapat main bersama, dapat tengok mereka bermain dari jauh pun dah cukup seronok pada aku.

Tahun berganti tahun, tak ada apa yang menyeronokkan disekolah, kecuali dapat makan free dan aktiviti mencari duit hehehe…

Di negeri kami, sekolah agama adalah wajib. Jadi selepas sekolah harian, petangnya aku akan dihantar ke sekolah agama oleh ayahku dengan menaiki motor honda bulat lama peninggalan aruwah atukku.

Kadang kala balik dari sekolah harian terpaksa berjalan kaki sebab ayah lupa ambil.

Dalam seminggu kadang sampai 2 atau 3 kali aku balik sekolah berjalan kaki sebab ayah lupa ambil. Jarak rumah aku ke sekolah lebih kurang 500 meter.

Aku ada sepupu satu sekolah denganku yang ayahnya mengambilnya menaiki kereta atau motor tapi jarang sekali nak menumpangkan aku.

Dia abang kepada ayahku yang tinggal sekampung denganku. Mereka berdua memang bermusuhan. Alfatehah buat pakcikku.

Korang nak tau duit yang aku jumpa dibawah kelas aku buat apa?! Aku beli guli… hehehe… balik dari sekolah agama, aku main guli dengan budak budak lelaki dekat kampung aku.

Ada juga bermain bersama sepupu sepupu perempuan aku yang lingkungan umurnya lebih kurang sebaya denganku.

Mereka juga bersekolah sama denganku. Cuma disekolah kami tidak berkawan, mereka ada kawan mereka sendiri, aku pun tidak mahu menggangu.

Kami hanya berkawan bila dikampung selepas balik dari sekolah agama, ataupun waktu cuti sekolah sabtu dan ahad.

Wahhh!!! Dah panjang sangat aku menulis kalau ada yang sudi nak baca nanti aku sambung lagi macam mana aku dibuli oleh pelajar pelajar lelaki disekolah rendah. Apa yang aku lalui nie buatkan aku trauma sangat.

Pantang aku dengar atau membaca tentang pelajar miskin atau anak anak saudara aku yang bercerita tentang pelajar miskin disekolah. Hati aku akan berdegup kencang, pelbagai rasa ada, marah, simpati, memberontak semua bercampur aduk.

Malam malam kadang aku menangis sendirian… tak taulah kenapa hehhehee padahal benda dah lama berlaku. Aku pon dah berdamai dengan takdir yang tertulis.

Tapi tetap masih lagi ada sisa sisa air mata yang tertinggal. Mungkin mereka tak mahu pergi atau aku yang “sukar” melepaskan mereka…

Akhir sekali, Aku doakan semoga semua pelajar pelajar disekolah dapat diberi perhatian yang sewajarnya oleh guru guru, walau dari apa sekalipon latar belakang mereka. Terapkan nilai empati dalam diri kanak kanak.

Pupuk nilai kasih sayang dan saling mengasihi antara satu sama lain. Kerana mereka masih kecil dan masih mudah dibentuk. Semoga tiada lagi mangsa buli rakan rakan dan dunia dipenuhi dengan kasih sayang yang banyak…

Semoga tiada kanak kanak yang melalui zaman “suram” dan semoga mereka semua dapat hidup dengan kegembiraan yang “unlimited” tanpa perlu rasa takut dan sedih.

Part 2: Hinanya Si Pelajar Miskin II

Assalamualaikum semua pembaca dan terima kasih kepada admin kerana sudi menyiarkan cerita aku yang sebelumnya.

Aku Bunga Putih. Aku dah baca setiap satu komen-komen pembaca yang dikasihi sekalian pada post aku yang pertama. Terima kasih semua diatas komen komen yang diberikan dan tak kurang juga yang sudi berkongsi pengalaman yang ada.

Hari hari yang aku lalui tanpa “kawan” disekolah bermula dari darjah 1 sehingga tamat persekolahan darjah 6.

Sungguh waktu terlalu pantas berlalu, namun peristiwa “sendirian” itu masih lagi berbekas dihati.

Ada betulnya juga komen yang mengatakan kawan tak nak berkawan dengan kita bukan pasal kemiskinan tapi kerana personaliti.

Ya aku akui, personaliti aku juga mempengaruhi mengapa mereka tidak mahu berkawan denganku.

Baju sekolah hanya sepasang aku gunakan dari hari isnin hingga hari jumaat untuk sekolah agama dan untuk sekolah harian.

Baju itu tidak bergosok, dicuci seminggu sekali menggunakan air telaga tadahan hujan yang di ambil dibelakang rumah. Takut jika dibasuh setiap hari tidak sempat kering ataupun baru cepat rosak.

Air inilah yang kami sekeluarga gunakan untuk memasak dan minum, untuk mencuci pakaian dan untuk membersihkan diri kami. Baju itu juga hanya akan berganti bila ada yang sudi memberi (baju terpakai yang disedekahkan).

Aku boleh bayangkan bertapa tidak selesanya kawan kawanku bila aku hadir kesekolah dengan penampilan yang seperti itu. Apetah lagi yang duduk berdekatan denganku.

Mungkin ada bau yang kurang menyenangkan dan membuatkan mereka “tidak lalu” untuk berkawan denganku. Sumpah tak pernah terfikir aku sebelum ini. Terima kasih kepada yang memberi komen. Hehehehe

Untuk makluman pembaca sekalian, keluargaku adalah penerima program perumahan rakyat termiskin (PPRT).

Waktu aku darjah 4 baru kami diberikan kemudahan “Air kolah” yang mana sumber air yang diperolehi daripada takungan air hujan.

Rumahku juga tidak punya bekalan “electric”. Hanya “pelita” yang menerangi kami pabila malam menjelma.

Mungkin betul juga ada pembaca yang mengatakan, budak budak darjah 1 dan 2 tidak pandai menyisihkan kawan kawan kerana kemiskinan.

Mungkin juga aku yang tidak pandai bergaul dan merasa rendah diri. Tapi sumpah aku katakan, aku terlalu gembira ingin mencari kawan sewaktu pertama kalinya aku menjejakkan kaki ke alam persekolahan.

Terimbau kembali saat aku ditahun 4, aku ingin meminjam “pemadam” kepada rakan perempuan sebelahku. Tetapi baru sahaja dia ingin menghulurkan pemadamnya kepadaku, kawan perempuan disebelahnya menghalang.

“Awak jangan bagi pinjam pemadam awak pada dia, mak dia seorang pencuri. Mak dia pernah datang ke kedai kita mencuri gula gula. Mak kita yang beritahu”.

Pemadam yang ingin dihulurkan itu disimpan kembali. Jadi terpaksalah aku menggunakan ibu telunjukku, mengesek gesek kertas buku dihadapanku untuk membetulkan tulisan yang salah. Hitam jadinya tulisan tersebut. Allahuakhbar.

Kata kata ini tidak pernah aku lupakan seumur hidupku. Walaupun waktu itu umurku masih tidak matang. Namun entah mengapa sehingga kini, ungkapan ini sering kali terngiang ngiang dibenak fikiranku.

Malah bila pensel kontotku patah, aku tidak lagi berani membuka suara untuk meminjam barang rakanku disebelah. Korang nak tau apa aku buat?!

Aku kutip cebisan mata pensel yang patah itu, aku gunakan untuk menulis. Aku sangat takut cikgu nampak perbuatanku. Tapi syukur cikgu jarang sampai ke tempat duduk di barisan belakang. hehehe

Ya!! Tahun demi tahun berlalu aku masih bersekolah disitu bersama rakan rakan yang sama dari tahun 1 hingga tahun 6. (sekolah kampung tidak banyak kelas).

Budak budak lelaki yang “agak nakal” itu juga semakin hari semakin berani membuli aku. Waktu sedang belajar mereka tarik tudung aku dari arah belakang. Tidak mengapa, mungkin itu perkara biasa.

Namun bila tiada guru didalam kelas, ditariknya lagi tudung aku sampai tercabut anak tudungku yang didalam.

Terserlahlah rambutku yang kusut masai macam mak lampir hahahaha!!!! Bila aku cuba pakai kembali, ditariknya lagi berulang ulang kali.

Mereka terlalu seronok memperlakukan aku seolah olah aku tiada perasaan. Sehinggalah mereka nampak guru berjalan ke kelasku, baru mereka berhenti.

Aku seperti biasa, diam dan duduk kembali ke tempatku sambil membetulkan tudungku yang senget benget itu. Hehehehe….

Tidak berhenti disitu, kasut sekolahku yang longgar juga sering menjadi mangsa mereka. Al maklumlah kasut “sedekah” kadang kala tak ngam dengan saiz kakiku. Mudah sangat tercabut sewaktu aku sedang khusyuk belajar.

Tanpa aku sedari kasut sekolahku menjadi tarikan budak budak lelaki yang agak nakal ini. Tanpa aku sedari, mereka menyembunyikan kasut sekolahku yang sebelah.

Ada kalanya mereka menyembunyikan kasut aku sebelum rehat. Jadi jika aku tidak dapat menjumpai kasutku, aku tidak akan sempat rehat pada hari tersebut, dek kerana terpaksa mencari kasut aku yang mereka sembunyikan.

Ada kalanya mereka sembunyikan kasut ku sebelum waktu loceng tamat persekolahan berbunyi. Jika aku menjumpai kasutku awal, dapatlah aku pulang tepat waktunya.

Tapi ada masanya aku jumpa kasutku agak lambat. Jadi bila aku jumpa kasut yang disembunyikan itu lambat, aku akan menangis dan berdoa pada tuhan supaya cepat dijumpakan kasutku itu.

Alhamdulillah bila aku menangis dan berdoa pada tuhan pasti tak lama kemudian, aku menjumpai kasut yang disembunyikan itu. Mungkin doa dari anak yang naif ketika itu mudah dikabulkan… huhu…

Hurm…. Ku kira mereka hanya berani menyembunyikan kasutku dalam diam, namun lama kelamaan mereka juga dah berani mengambil kasutku dan tunjukkan kepadaku.

Bila aku cuba mengambil dari salah seorang dari mereka yang memegang kasutku, mereka akan lempar kasutku kepada rakan yang lain.

Jadi aku akan terpinga pinga berebut kasutku keseorang, demi seorang lagi rakan lelaki yang lain pada waktu itu.

Kadang kadang selepas penat mengejar dan diperlakukan seperti itu, aku tak dapat nak menumpukan perhatian sepenuhnya sewaktu sedang belajar.

Perbuatan ini bermula dari aku darjah 4 sehingga darjah 6.

Masih segar dalam ingatan tetang satu lagi kejadian dimana “colour penselku ” dibuang tanpa perasaan.

Seminggu sebelumnya cikgu sudah mengingatkan semua pelajar untuk membawa pensel warna ke sekolah.

Waktu balik aku bagitahu mak yang minggu hadapan aku perlu membawa pensel warna ke sekolah. Aku lihat wajah mak berat namun dia tetap usahakan. Hasil duit jualan kuih yang tidak seberapa dia gunakan untuk membeli pensel warna dikedai runcit yang berdekatan.

Namun apa yang menyedihkan bagiku, waktu aku ketandas aku letakkan pensel warna itu dibawah ruang mejaku yang kosong. Padaku pensel warnaku selamat disitu kerana aku tidak ketandas lama.

Tetapi apabila waktu hendak menggunakan pensel warna tersebut, aku cari pensel warna tersebut sudah hilang. Ahhhh…. mana penselku getus hatiku…

Allhuakhbar… sedihnya hati aku tuhan sahaja yang tahu… sudahlah mak belikan bersusah payah, aku pula hilangkan. Aku cari serata tempat duduk, sampai ke tong sampah aku cari tapi tak jumpa.

Akhirnya aku mengalah. Sampai waktu untuk menggunakan pensel warna tersebut, aku tiada apa untuk diguna. Aku perhatikan rakan rakan lain sibuk mewarna sedangkan aku hanya melihat sayu…

Aku rasa dah panjang sangat dah aku tulis. Nanti bosan pulak korang nak baca… hehehehe…

Oklah aku berhenti disini. Kalau masih ada yang nak baca sambungan kisah aku, aku akan ceritakan kat mana aku jumpa pensel warnaku dan bagaimana titik pengakhiran kisah aku dibuli.

Terima kasih pada semua yang sudi membaca dan komen pada kisah aku. Aku sayang korang semua. “Virtual hugs”

Salam sayang dari aku untuk semua;

Aku yang berdamai dengan takdir.

Part 3, klik link dibawah:

Time rehat, aku cuba duduk sebelah kawan. Mereka lari. Hinanya aku. Nak makan bersebelahan mereka pun aku tak layak

Sumber – Bunga Putih (Bukan nama sebenar) via IIUMC

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post