Nama aku diletak director. Gaji 2.5k, jadi penjamin company. Loan dah 500k. Tergamak mak ayah gunakan aku



 Foto sekadar hiasan

Terperangkap Dalam Kehidupan Sendiri

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada admin serta semua pembaca.

Namaku Dahlia (semestinya bukan nama sebenar).

Aku mengambil keputusan untuk meluahkan perasaan yang terbuku dalam hati aku untuk sekian lama kerana sudah tak tahan dengan apa yang berlaku.

Secara ringkasnya, parents aku menubuhkan sebuah syarikat Sdn Bhd. Ketika aku masih dalam pengajian Diploma.

Ketika itu, aku tiada langsung ilmu berkaitan pensyarikatan sehinggalah aku bekerja di syarikat ibu ayah aku setelah tamat belajar.

Pada ketika itu, aku hanya membuat kerja kerja seperti yang ibu bapa aku arahkan.

Lama kelamaan, tahun bersilih ganti selepas aku mula bergaul dan mindaku terbuka dalam bahagian pensyarikatan dan kewangan, aku mula sedar yang kemungkinan aku ini hanya diperalatkan oleh kedua orang tuaku.

Namaku diletakkan sebagai pengarah syarikat untuk syarikat tersebut. Dan sepatutnya pengarah syarikat mempunyai kuasa dan perlu bertanggungjawab terhadap semua keputusan dan tindak tanduk syarikat.

Namaku juga dijadikan penjamin atas segala urusan pinjaman syarikat.

Aku pendekkan cerita jelah. Panjang sangat pula nak taip sangat nanti. Hehe.

Pada penghujung tahun 2021, sekitar bulan September. Syarikat aku sudah kembali dibenarkan beroperasi setelah setahun lebih cuba untuk bertahan.

C0vid kan. Kalau nak berniaga online pun, untuk tampung kehidupan sendiri, boleh lah. Tapi untuk membayar fixed cost syarikat, memang tak boleh cover.

Ditambah lagi dengan landlord yang tak bertimbang rasa dan beberapa orang staff yang merungut kerana syarikat hanya mampu membayar gaji pada kadar minimum sahaja, lagi membuatkan aku stress.

PSU tu dapat. Tapi lambat masuk duitnya. Terpaksa la dulukan duit simpanan aku yang tak seberapa.

Gaji aku sebagai pengarah pun paras gaji B40 ya. Tak lebih RM 2,500 pun. Nama je pengarah syarikat. Haha.

Sepanjang tempoh untuk bertahan tu, syarikat aku telah membuat pinjaman bank untuk membayar gaji pekerja dan kos operasi lain yang tertunggak.

Hutang syarikat sekarang sekitar 500 ribu. Pada awalnya aku meminta ibu bapaku untuk menjual syarikat tersebut. Tetapi mereka enggan,

Mereka masih lagi nak pertahankan syarikat mereka kerana ‘sayang’ katanya.

Bila aku enggan untuk tandatangan pinjaman bank syarikat, mula la kami bertegang urat, bertikam lidah.

Akhirnya aku tandatangan sahaja lah. Untuk mengelakkan hubungan kami bertambah keruh.

Untuk meneruskan kehidupan aku dan team syarikat, aku telah merangka cash flow in and out untuk melancarkan operasi syarikat.

Tetapi segala cadangan dan idea aku ditolak mentah mentah oleh ibu bapaku. Mereka lebih cenderung untuk spend duit ke arah yang tidak perlu untuk ketika itu.

Banyak kali juga aku bertikam lidah dengan mereka. Secara jujurnya, bukan waktu tu je. Sebelum ni pun kami banyak bercanggah pendapat dan idea.

Dan akhirnya, aku terpaksa akur dengan keputusan mereka walaupun keputusan itu mendatangkan kerugian kepada syarikat.

Katanya mereka dah makan asam garam terlebih dahulu. Kalau macam tu, tukar sahajalah nama pengarah tu kepada nama mereka. Tahu pula tak nak.

Aku pernah banyak kali rasa lost. Malas nak pergi kerja. Bangun lambat. Masuk office lambat. Minda aku terasa heavy. Tak tahu nak describe macam mana.

Bila diluahkan, mereka kata aku pemalas.

Bapak aku suka bekerja. Dia pun expect untuk aku ikut caranya. Kerja setiap hari. Kalau boleh 3-4 jam je tidur.

Sabtu ahad aku nak enjoy dengan kawan pun mereka marah. Oh ya, aku duduk dengan parents.

Banyak kali aku cuba untuk bnuh diri kerana mengenangkan nasib kehidupan dikawal oleh keluarga. Menangis dalam gelap. Tidur tak lena. Selalu terjaga.

Aku solat 5 waktu ya. Sesetengah orang suka bagi nasihat supaya aku dekatkan diri dengan tuhan lebih sikit.

Sekarang ni, nak dekat setahun aku berkahwin. Aku masih lagi bekerja di syarikat ibu bapaku.

Walaupun beberapa bulan sebelum aku berkahwin, aku sudah beritahu ibu bapaku yang aku nak berhenti kerja dan tak nak ada apa apa hubungan dah dengan syarikat mereka.

Aku nak ikut tinggal bersama suami yang bekerja di selatan tanah air. Mereka setuju.

Tapi, bapak aku pandai. Dia slow talk berdua dengan suamiku untuk membenarkan aku terus bekerja dengan mereka tanpa pengetahuan aku.

Suamiku tak berdaya nak tolak. Maklumlah baru je beberapa bulan jadi menantu. Nanti takut dilabel kurang ajar.

Suamiku pernah meluahkan perasaan kecewanya, kerana apa yang terjadi tak seperti yang kami rancang.

Sekarang ni, aku masih bekerja di syarikat ibu bapaku.

Macam biasa lah, aku pun tak tahu apa fungsi aku dalam syarikat tu kalau semua idea, cadangan, pendapat aku ditolak oleh mereka dan masih perlu follow cara dan keputusan mereka.

Aku tertekan. Mengenangkan impak daripada pinjaman bank yang telah aku tandatangan untuk syarikat.

Maklumlah, parents aku suka boros guna duit syarikat, walaupun income masuk tak banyak.

Aku teringin memiliki keluarga sendiri. Ada anak. Seronoknya.

Tapi mengenangkan hutang syarikat tersebut, aku tolak untuk memiliki anak buat masa ni dan maybe takkan nak untuk ada anak pun.

Aku tak nak menyusahkan anak aku dan suami aku nanti kalau terjadi apa apa.

Sampaikan pernah terdetik dalam hatiku untuk bercerrai dengan suamiku kalau keadaan dah tak terkawal. Tapi siapa lah yang nak bercerrai berai ni.

Aku ada degree dan semestinya aku teringin nak ada kereta sendiri, rumah sendiri dan career growth seperti kawan aku yang lain.

Malangnya, nama kau digunakan untuk pinjaman bank syarikat. Bukan pinjaman bank untuk kegunaan sendiri. Huhu.

Dulu gaji aku dapat la sekitar RM2,300-RM2,500 sebulan. Selepas c0vid, gaji aku RM1800 sahaja. Dah turun pula. Hehe.

Bukan nak merungut, tapi rasa tak berbaloi langsung dengan effort dan risiko yang aku hadapi.

Aku perlukan semangat setiap hari untuk aku terus bertahan dalam kehidupan.

Aku banyak termenung dan memilih untuk melepak di mana mana coffee shop selepas waktu kerja.

Nak tenangkan fikiran walaupun takde apa apa masalah pada hari tersebut.

Sekiranya cerita aku terpilih untuk disiarkan, boleh tak korang semua bagi pendapat atau cadangan apa yang aku perlu buat.

Or ceritakan pengalaman korang berdepan dengan situasi berhutang bank sebanyak itu.

Terima kasih.

Reaksi Warganet

Noor Izrain –
Ada pengajaran yang saya dapat dari cerita adek.

Saya juga memaksa anak saya untuk mgambil alih bisnes kecil saya walaupun dia masih belajar.

Bezanya, saya bagi dia sedikit % keuntungan setiap bulan (simpanan asb) di samping gaji dan tiada pinjaman bank.

Kesian pula andai anak saya berasa seperti adek. Adek buatlah keputusan untuk kebaikan dan impian adek suami isteri.

Ezd Airaniez –
Better tarik hand break secepat mungkin. Sis orang yang bijak. Mulakan langkah senyap senyap keluar daripada company tu.

Pengalaman orang terdekat saya, bapanya guna nama buka company. Sudahnya dah 10 tahun nama dekat Maybank sangkut.

Nak buat loan langsung tak boleh. Hanya sebab bapanya hutang bil elektrik TNB, anak nak beli rumah dan kereta punyalah payah.

Paling sadis bapanya tu kahwin dengan partner bisnes dia. Senyap senyap mereka berskandal, sampai sekarang hutang tak boleh bayar.

Jadi anak dia move on, berhijrah jauh daripada bapa dia. Sekarang anak dia lebih berhati hati buat bisnes.

Hutang perlu dibayar. Tapi tak wajib anak anak settlekan hutang mak ayah ya.

Rozanne Shah –
Kalu sdn bhd, hutang atas nama syarikat, bukan nama sis. Unless buat loan personal atas nama sis. Sis kena study banyak lagi ni pasal akta syarikat

Secara amnya, Pengarah tidak bertanggungjawab terhadap hutang Syarikat secara peribadi kerana konsep entiti berasingan.

Entiti berasingan membawa maksud sesebuah perniagaan atau Syarikat itu wujud sebagai satu entiti atau unit yang berasingan daripada Pemegang Saham dan para Pengarah.

Hutang yang dilakukan atas kapasiti Syarikat dan bagi tujuan perniagaan, akan terikat kepada Syarikat sahaja.

Ianya tidak akan melibatkan para Pemegang Saham dan juga para Pengarah melainkan hutang atau liability tersebut merupakan pinjaman secara peribadi oleh para Pengarah dan Pemegang Saham.

Wahi Mohamad –
Rozanne Shah biasa nya/selalu nya, syarikat yang meminjam, pengarah akan jadi guarantor.

Dalam LO, the facilities are solely / jointly and severally guaranteed by all the directors namely…. bla bla bla.

Tiada kes pengarah yang terlepas walaupun sudah resign (masa sign LO/guarantee letter pengarah masih bekerja).

Kawan saya di isytihar muflis/bankrupt walaupun dah resign dengan syarikat hampir 5 tahun. Masa tu dia pengarah/finance manager.

Muhammad NurNaif –
Syarikat Sdn Bhd. Apa apa keburukan jadi dekat syarikat, bukan anda yang tanggung tak salah saya.

Cuba check dengan akauntan syarikat. Akauntan yang buat audit syarikat tu bukan akauntan sepejabat dengan anda.

Kerugian bukan anda yang tanggung. Boleh juga tanya lawyer.

Saya tak faham macam mana anda boleh jadi guarantor pinjaman syarikat.

Baru grad kan? Asset tak dak. Savings tak dak. Slip gaji 2.5k. Boleh jadi guarantor beratus ribu.

Baik check ni balik. Takut mata anda telah dikelabui.

Sumber – Dahlia (Bukan nama sebenar) via IIUMC

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post