Suami kene cekup dengan kerani 50 tahun dalam stor. Bila terbongkar, aku ditendang depan anak. Aku pula yang salah



 Foto sekadar hiasan

Su4miku N4rcissistic

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Terbaca tentang luahan rasa seorang ibu, seorang isteri dari ruangan ini mempunyai suami NPD membuatkan saya tersentak.

Rupanya saya bukan keseorangan. Jalan cerita kami hampir sama. Ya sama memikirkan apakah ini tanda klasik seorang NPD?

Saya telah berkahwin hampir 6 tahun. Mempunyai dua anak perempuan kecil berusia 5 dan 4 tahun. Suami seorang duda anak 2 yang dicerraikan oleh isterinya selepas 8 tahun berkahwin.

Saya selalu bertanya apa sebab terjadinya perpisahan, tapi katanya dia tak tahu. Dia kena halau dari rumah dan tak dibenarkan jumpa anak anaknya.

Pencerraian secara fasakh berlaku apabila isterinya menuduh dia melupuskan harta dan berlaku akibat campur tangan ibu mertua.

Isterinya telah disihir oleh lelaki lain yang jatuh cinta dengannya. Akhirnya mereka berkahwin setelah 3 hari bekas isterinya tamat edah.

Itulah pengakuannya dan saya percaya, kasihan dan akhirnya kami berkahwin setelah berkenalan hanya untuk tempoh kurang 6 bulan dan kami tinggal di rumah mak saya.

Sepanjang tempoh berkenalan, saya rasakan dia seorang lelaki yang baik, tidak pernah tinggal solat dan puasa.

Selalu mengaji dan pergi ke masjid. Selalu belikan saya makan, belikan hadiah dan bunga. Selalu memastikan saya menutup aurat dengan sempurna dan selalu menasihati saya.

Saya bekerja di sektor kerajaan dalam bidang profesional dan dia juga bekerja di bahagian pentadbiran dengan jawatan yang kecil.

Dia tiada rumah, tiada kereta, tiada simpanan lepas bercerrai dengan isterinya.

Turning point, selepas berkahwin barulah saya tahu sikap sebenar dia. Solat selalu tak dijalankan.

Hampir setiap hari dia akan keluar malam dan balik jam 1-2 pagi pergi bersembang dengan kawan kawan. Mengaji jauh sekali. Puasa yang ditinggal sebab tak sihat, tak diganti.

Selepas dua bulan berkahwin. Saya mengandung. Dia tak pernah teman saya checkup di klinik atau hospital. Tapi saya okey sahaja, tak mahu menyusahkan dia.

Suatu hari, saya terbaca mesej dia mengajak perempuan lain tidur di hotel.

Saat itu, berdebar jantung. Saya menangis sehingga turun drah dan dimasukkan ke hospital.

Apabila menjenguk saya, dia datang bersahaja. Tak bawa makanan atau keperluan. Tiba masa melahirkan, dia suruh mak temankan saya dalam labour room.

Hari ke-27 saya berpantang, dia keluar pergi memancing. Tak betah dia nak duduk rumah jaga saya. Saya dibiar bersama anak kecil dan mak di rumah.

Mak yang banyak uruskan saya, sapu ubat, masakkan lauk pantang, basuh baju anak dan saya.

Mengandung anak kedua, saya seringkali melihat mesej mesej dia bercinta dengan wanita yang kebanyakan saya kenal di pejabatnya. Ada perempuan ni bekerja sebagai cleaner.

Baby, sayang, abang, mama semualah keluar. Perempuannya keliling pinggang, semuanya dia mesej apabila berada di pejabat dan apabila waktu malam selepas saya tidur.

Dia akan pastikan dirinya sentiasa segak, berpakaian branded seperti Camel Active, Bonia, Sembonia, Padini, Pierre Cardin dan lain lain.

Pernah saya belikan T-shirt harga RM30, bukan main marah lagi dia. Katanya kainnya gatal dan tak bermutu. Taubat lahum saya tak belikan lagi dia T-shirt sehingga kini.

Dia akan sentiasa mengenakan deodoran walaupun berada di rumah. Dia akan makan sikit untuk menjaga badan agar tidak gemuk dan perutnya tak boroi seperti kebanyakan lelaki lain yang dah berkeluarga.

Rambutnya akan sentiasa dipotong kemas, dirapikan dan pakai minyak atau pomade walau berada di rumah!

Dia akan bergurau panggil saya gajah, dan suruh saya kuruskan badan untuk kesihatan diri.

Padahal saya tahu, di malu saya gemuk selepas bersalin.

Saya mula perasan, dia mula meletakkan tanggungjawabnya kepada mak dan saya. Hanya sekali sahaja di akan berikan duit nafkah untuk sebulan disebabkan gajinya yang kecil. Pandai sayalah lepastu nak hidup.

Dia tak pernah belikan anak anak mainan. Tak pernah belikan makanan hatta kuih sekalipun untuk kami.

Jarang sekali dia ke pasar malam sebab katanya makanan mahal dan tak sedap. Tapi kalau saya belikan makanan, dia akan komplen cakap tak sedap, ada kedai lain lebih sedap.

Tapi dia akan habiskan makanan yang saya beli dan dia takkan tunjukkan kedai mana yang dikatakan tadi.

Apa yang saya beli, semua salah, semua tak sedap, semua merosakkan kesihatan. Tapi habis juga dimakannya. Kalau nak tunggu dia, kempunan la saya. Dia sangat kedekut.

Tak pernah di beri mak saya duit sebab jaga anak dia. Tak pernah belikan makanan, kuih ke buat minum petang.

Dia hanya menunggu saya belikan semua makanan atau peralatan di rumah. Dia akan ambil dan gunakan. Motorsikal EX5 arwah abah, dia dah tukar semua aksesori dan gunakan.

Segala perbelanjaan isi rumah semua atas saya dan mak.

Segala makanan, bil bil elektrik, air, telefon, internet, yuran sekolah anak, susu, pampers, baju, duit kereta, insurans anak anak, ubat ubatan semua atas saya campur duit nafkah yang diberi tak seberapa.

Tapi saya tak pernah cakap dekat dia tak cukup, sebab tahu gaji dia kecil dan gaji saya lebih besar.

Duitnya semua saya belikan keperluan anak anak supaya dia dapat pahala. Takda saya merasa duit nafkah untuk keperluan diri saya sendiri.

Saya selalu bawa bekal ke pejabat sebab duit yang ada untuk simpanan dan keperluan bila perlu. Kawan di pejabat makan KFC, minum tealive. Saya makan bekal dan minum air coway bos sediakan.

Dia juga tak pernah empati pada saya. Tak pernah dia tanya saya ada duit tak nak makan? Macam mana kerja saya harini? Saya sihat ke tak harini? Tidak pernah duduk berborak seperti pasangan suami isteri lain.

Pernah saya demam, dia keluar. Tetap keluar melepak dan balik lambat. Nasib baik ada mak boleh tengokkan anak anak.

Birthday saya tak pernah dia ingat, tak pernah belikan hadiah. Anniversary apatah lagi.

Sepanjang 6 tahun kahwin, jangan kata emas permata, dia tak pernah belikan saya dan anak anak baju raya, kuih raya, belikan makanan berbuka.

Sebaliknya saya pulak yang belikan dia dan anak anak baju setiap kali raya. Itupun kena bawa dia. Tak boleh beli sendiri.

Banyak masalah saya ceritakan pada mak. Anak anak jadi tempat saya lepaskan marah dan stress.

Akhirnya disebabkan beban emosi yang tak tertanggung, saya mendapat darah tinggi dan mengidap Kebimbangan Melampau (Anxiety).

Kena makan ubat penenang selepas bersalin anak kedua. Bukan nak menyokong menenangkan jiwa saya, sebalik dia kata saya giila!

Saya stress melampau, saya dibiarkan buat semua kerja rumah. Uruskan anak anak. Kebajikan saya dan anak tak pernah diutamakan.

Kalau anak sakit, dia akan beriya bawa kami ke klinik, tunggu dalam kereta dan bawa kami balik. Sikit pun tanya keadaan anak, dan saya rasa dia takut nak keluarkan duit untuk bayar ubat anak.

Pernah anak masuk hospital swasta sebab demam tinggi melebihi 40 darjah. Deposit hospital saya bayar, suruh dia jaga anak di hospital.

Dia kata tak nak sebab takut kena cucuk hidung swab. Datang tengok anak berlenggang je, sampaikan mak saya marah suruh belikan saya makanan sebab hospital tak sediakan makanan untuk ibu, barulah dia belikan makanan.

Seminggu duduk hospital, saya bagi dia duit susah payah datang, dia ambil. Itu belum lagi dia lari keluar ke bilik lain bila anak sakit dan merengek nak tidur buai. Bising katanya mengganggu tidur dia.

Belum lagi part nak beli kereta mahal untuk kereta keluarga. Saya cadang nak beli proton Exora, besar dan luas dan saya mampu nak bayar bulanan.

Eh, dia kata kereta Proton tak elok, suruh saya beli Toyota, Mazda atau kereta luar negara.

Sudahnya saya beli Nissan dan bayar duit bulanan hampir RM700.00 dan maintenance setiap tahun tak pernah dihulur.

Pernah kereta rosak. Saya, anak anak dan mak dalam kereta tengah hujan lebat. Suhu kereta naik tiba tiba menyebabkan kami tersadai tepi jalan.

Anak anak menangis takut, keadaan panas sebab tak boleh buka aircond. Saya telefon dia dengan harapan ambil la anak-anak dan mak balik dulu sementara saya tunggu suhu turun. Dia boleh suruh saya bawa je kereta perlahan lahan sampai rumah.

Menyesal saya. Meleleh air mata. Hampir sejam saya baru sampai rumah sebab jalan tak berapa jauh, suhu naik dan berhenti tepi jalan.

Berulang kali. Keesokannya saya terus telefon bengkel, tunda kereta dan betulkan. Terbang RM400.

Tapi dia sikit pun tak tanya kereta tu rosak apa, berapa kena, hantar ke mana. Dia diam je buat hal dia. Seperti biasa, takut saya mintak duit dia.

Dua tahun lalu, saya ternampak lagi dia bermesej dengan isteri orang di pejabat. Kakak umur 50 tahun. Kerani baru pindah di situ.

Isteri nombor 2 katanya. Mereka saling bermesej ambil berat, tanya khabar, tanya dah makan belum, tanya buat apa.

Dia kata dia kesian. Sebab suami kakak tu selalu pukul dia, selalu tak makan, selalu ditinggalkan sorang di rumah.

Jadi dia selalu muntah dan gastrik di pejabat. Dia tolong beli makanan, bawak kakak tu pergi makan, bawa ke klinik.

Saya tanya dia takda kawan perempuan ke nak ambil berat? Dia diam.

Saya cakap hal kerja tinggalkan di pejabat. Dan dia cakap dia takda apa apa niat selain menolong. Saya percaya cakap dia.

Baru baru ni, dia keluar malam dan tak balik rumah bawa kereta saya.

Telefon tak angkat, telefon kawan kawan semua tak tahu. Saya telefon kawan sepejabat dia sehingga terbongkar kisah dia dan perempuan tu kena tangkap khalwat dalam stor pejabat.

Saya meraung raung bagitahu mak saya, bagitahu kakak dan abangnya di kampung. Saya telefon dia banyak kali suruh dia balik segera.

Bila rahsia dia terbongkar, dia tendang saya depan anak. Maki hamun keturunan saya, maki hamun anak anak.

Doakan saya dan anak anak mati eksiden sebab saya bagitahu keluarga dia di kampung.

Iphone yang saya beli berharga RM3 ribu yang dia pujuk nak guna, dia baling sampai pecah. Dia cakap perempuan tua tu baik, jangan cakap buruk pasal perempuan tu.

Dia kata mereka tak buat apa pun dalam stor. Orang saja perangkap dan nak kenakan dia. Saya perlu percayakan dia dan tak boleh percayakan orang lain.

Dia cakap dia jadi bachul sebab saya. Dia putuskan hubungan adik beradik sebab saya. Dia takkan balik kampung lagi sebab saya walaupun mak dia mati nanti.

Semuanya sebab dan salah saya dia jadi begitu. Dan saya tak boleh sebut langsung pasal perempuan tu. Dia masih cakap tiada apa antara mereka.

Saya pergi jumpa pengarah dia, dan pengarah terangkan bahawa mereka telah lama hendapkan pasangan ni.

Setiap petang mereka akan masuk stor dan akhirnya setelah cukup bukti barulah pengurusan ambil tindakan dan mereka berdua kena cekup.

Tak sanggup saya bayangkan apalah yang mereka buat di dalam stor. Allahuakbar!

Hancur berkecai hati saya. Selama ni, tak cukup cukup saya diuji.

Saya bagitahu mak, mental saya sakit, ada sesuatu dalam badan saya yang sakit tapi orang tak nampak. Saya rasa hopeless.

Selama ini dahlah saya tanggung semua, saya turutkan semua. Saya tidak dihargai seperti seorang isteri, saya dihina.

Tapi ini balasan dia pada saya. Saya cuba nak bawak diri, tapi saya kesian mak kena jaga anak anak.

Dia? sibuk dengan telefon. Telefon melekat je dekat tangan. Siap ada password.

Jangan kata saya, anak anak tak boleh pergi dekat dengan telefon dia. Pergi toilet pun bawak telefon.

Kalau pakai kain pelekat, telefon duduk dalam ikatan kain pelekat dekat perut. Dia masih keluar malam dan balik lewat sehingga jam 6 pagi.

Kerjanya melupuskan harta mak dan abah saya. Dia potong semua pokok buah yang aruwah abah saya tanam, tapi dia tak gantikan dengan pokok baru.

Dia tanam pokok nenas, terung, cili banyak banyak melebihi keperluan lepas tu suruh saya, mak dan adik saya jual di pejabat kami.

Tapi dia tak nak bawak ke pejabatnya untuk dijual. Dia pelihara ayam dan itik kampung sampai berpuluh ekor.

Tahi ayam sana sini, atas simen depan, belakang dan tepi rumah. Tak dicuci, rumah bau busuk.

Masih suruh kami jualkan ayam kampung, tapi dia taknak jual bagi pihak diri sendiri.

Tiga kali saya turun naik pejabat agama nak dapatkan sesi kaunseling. Sesi kedua ustaz salahkan saya sebab katanya isteri kena pandai la pikat suami. Jaga kecantikan, jaga perut suami, jaga kemalvan dia.

Allahu, Allah lebih tahu. Saya memang masak di rumah, jarang sekali keluar makan di kedai.

Saya bukan perempuan tinggalkan rumah dan anak anak untuk berhibur dengan kawan kawan dekat luar macam orang lain. Saya jaga solat dan puasa.

Masa untuk diri sendiri pun takda. Duit nak cantik beli supplimen vitamin semua saya simpan untuk masa depan anak anak. Sebab ayah mereka tak pernah buka akaun simpanan anak.

Bab atas katil, sebulan sekali susah saya nak dapat. Kalau dapat pun saya sangat bersyukur.

Kalau saya nak, dia akan suruh saya tidur dan biarkan malam berlalu. Hanya dia sahaja yang boleh minta pada saya, saya tak boleh minta.

Tapi kalau saya tak bagi, dia akan maki hamun saya. Dia akan bandingkan saya dengan bekas isterinya yang jauh lebih baik, lebih cantik dan lebih kaya dari saya. Muka saya hodoh, badan saya gemuk. Tak sesuai dengan dia.

Kali ketiga sesi kaunseling, dia tak datang sebab dia kata pejabat agama tu bukan tempat dia.

Puas ustazah pujuk, dia kata dia sibuk kerja. Akhirnya ustazah keluarkan surat untuk saya bawa kes cerrai ke mahkamah.

Saya balik dan bagitahu dia saya nak cerrai. Dia menangis, peluk kaki cakap dia akan berubah. Katanya saya takda kekurangan pun. Dia saja cakap nak sakitkan hati saya.

Kalau nak sangat cerrai, tunggulah 5 tahun lagi sampai anak besar katanya. Bila sebut bab anak, saya bagi peluang kali terakhir.

Kami pergi bercuti bersama anak anak dan mak. Waktu malam dekat hotel masa dia tidur, saya ternampak perempuan tua tu mesej dia lagi berbahasakan diri mereka sayang dan abang.

Saya maki hamun dia cakap dia takkan berubah dan taknak berubah. Dia, macam biasalah mana nak mengaku kan.

Dia je betul, semua orang salah dan tak boleh nasihatkan dia. Jadi dia cakaplah alasan mengarut. Katanya hanya bab kerja.

Bab kerja bersayang abang tengah malam buta? Sedangkan itu tempoh masa berkualiti kami dengan keluarga. Perlu ke dia masukkan orang lain dalam waktu itu?

Walau dia maki hamun saya, hina saya, anak anak dan keturunan saya, dan tiap kali saya mintak cerrai, dia tak pernah lafazkan.

Kata mak dan adik beradik, dia takkan nak lepaskan saya. Sudah tentu dia malu sebab pernah bercerrai sekali. Lagipun saya lebih berkebolehan dan lebih pendapatan dari dia.

Dia ada segalanya dengan saya dan tak perlu susah payah. Motor pun abah saya punya, dia pakai. Rumah besar milik mak abah saya, api air percuma tak payah bayar sewa dan bil.

Tanah luas dia sesuka hati bercucuk tanam, pelihara haiwan. Anak anak terjaga sebab mak yang jagakan.

Demi Allah, hati saya dah tawar. Kini saya diam je macam orang bdoh. Kali terakhir saya cakap dengan dia, janganlah buat dosa lagi.

Kahwinlah, saya izinkan dan lepaskanlah saya. Saya mula pakai tudung dalam rumah, pakai jubah atau baju lengan panjang menutupkan kekurangan diri.

Saya tunggu anak besar untuk tempoh lima tahun lagi. Saya bersyukur mak masih ada di sisi, masih sihat dan masih nak dengar luahan hati ni.

Saya tiada tempat lain nak luahkan perasaan sakit ni. Saya akan terus makan ubat penenang untuk berapa lama lagi, saya pun tak tahu.

Kami tidur berasingan bilik. Saya gembira bawa mak dan anak anak berjalan tanpa dia. Dia juga tak pernah tanya dan ambil tahu kemana kami pergi atau apa kami buat.

Saya rasa kekok bila berada bersama dia. Saya kuatkan semangat bela mak dan anak anak, cari jalan gembirakan diri sendiri bersama anak anak.

Selagi saya boleh buat, saya akan lakukan dan saya takkan susahkan orang lain. Saya anggap diri saya kini sebagai seorang ibu tunggal. Saya sendiri dan berseorangan.

Sambil tu saya selalu cakap dengan anak agar mereka bersedia bila saya dan ayahnya tidak lagi tinggal bersama.

Dia? saya juga tidak ambil tahu tentangnya lagi. Saya harap dia gembira dengan hidup dia.

Kadang kadang terlintas di fikiran, serba sedikit saya tahu kenapa dia dicerraikan isterinya dulu.

Saya sentiasa berdoa kepada Allah agar bukakan jalan jalan kebaikan untuk saya dan anak anak.

Selama 6 tahun saya boleh sengsara, apa salahnya saya bertahan untuk 5 tahun lagi kan sementara anak anak membesar dan mengerti tentang apa yang sedang berlaku.

Andai anak anak memilih untuk hidup dengan ayahnya juga saya tiada halangan.

Dan andai anak anak salahkan saya, saya terima. Asalkan mereka gembira. Doakan saya agar kuat terus melangkah…

Sumber – Me (Bukan nama sebenar) via IIUMC

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post