Cerita dari hospital sakit jiwa. Mlm pertama, aku xboleh tidur. 2am aku ronda, jengah2. Pelik bila tgk 1 bilik



 Foto sekadar hiasan

Cerita Dari Hospital Sakit Jiwa

Assalamualaikum dan salam sejahtera dunia.

Maaf sebelumnya kerana coretan ini mungkin agak panjang berbanding coretan lain. Aku tak pandai nak pendekkan.

Aku adalah pesakit jiwa. Orang sekarang panggil pesakit mental. Ada orang panggil orang giila.

Aku telah menerima rawatan psikiatri selama 17 tahun bermula dari awal usia 20an.

Sejak kecil aku dah sedar yang aku ada masalah. Pada usia 12 tahun aku namakan masalah itu “masalah psik0logi”.

Waktu itu aku belum pernah dengar istilah “sakit mental” atau “psikiatri”. Jadi aku anggap aku ada masalah psik0logi.

Tapi bukan itu yang aku ingin ceritakan di sini. Aku ingin ceritakan kisah aku di hospital sakit jiwa.

Di Malaysia ada banyak hospital kerajaan dan swasta. Perkhidmatan psikiatri pun banyak.

Klinik psikiatri atau klinik pakar ada di hampir setiap hospital kerajaan. Wad psikiatri pun dah banyak di hospital hospital ini.

Tapi hospital sakit jiwa, atau hospital yang dikhususkan untuk rawatan mental, boleh dikira dengan jari.

Hospital hospital yang menempatkan pesakit pesakit jiwa ini selalu dipandang sebagai tempat orang giila, tempat yang berbahaya untuk didekati.

Nama hospital hospital ini membawa stigma yang besar dalam masyarakat. Dijadikan punch line untuk mengejek seseorang.

Di sinilah tempat letaknya pesakit pesakit mental yang melibatkan kes buuh dan kes mahkamah. Di sini jugalah tempat aku mendapat rawatan.

Sepanjang 17 tahun, sudah beberapa kali aku dimasukkan ke wad hospital yang berbeza beza. Tapi aku ingin menceritakan waktu aku dimasukkan ke wad hospital sakit jiwa ini baru baru ini.

Hospital sakit jiwa ini dibina di atas tanah yang berekar ekar. Wad juga bermacam macam.

Orang yang tak pernah masuk ke kawasan wad pernah kata nampak sunyi dan tenang je dari luar.

Ya, memang dari luar kawasan wad, sunyi je suasananya. Bayang pesakit pun tak nampak dari jauh.

Untuk sampai ke wad aku ditempatkan, ada beberapa pintu dan pegawai keselamatan yang perlu dilalui.

Pada pintu kedua terakhir, ada tertulis “High Dependency & Difficult Behavior”.

Sebelum masuk ke dalam wad, barang barangku di periksa. Hanya telekung dan botol air je yang aku boleh bawa masuk. Barangan mandi dan lain lain disimpan oleh jururawat.

Kemudian aku diberikan baju seragam wad dan seorang jururawat ikut aku ke bilik air untuk tukar baju.

Badanku diperiksa untuk lihat kesan parut daripada mencederakan diri. Aku tak pernah mencederakan diri dan tiada parut yang jelas.

Aku ditanya sama ada aku tahu aku di mana, sama ada waktu itu siang atau malam, sama ada aku tahu siapa orang di sekelilingku.

Lepas tukar baju, aku minta untuk solat sebab belum solat asar. Jururawat tunjukkan arah kiblat dan aku ditinggalkan di dalam wad.

Baru nak solat, ada seorang pesakit datang dekat menghulur salam. Aku sambut dan dia ajak aku solat di kawasan depan. Aku ikut.

Wad ini bukan seperti wad perubatan biasa. Tiada katil yang disusun seperti wad biasa. Dalam wad ni, masuk je terus jumpa suatu ruang besar tempat pesakit berkumpul waktu siang.

Ada TV, ada meja, ada kerusi. Di sini jugalah tempat makan, macam di asrama. Aku panggil tempat ni common room.

Lepas solat, ada yang ajak aku berbual. Aku perhatikan ada yang baring di lantai, ada yang bercakap sendiri, ada yang tenung aku macam nak marah.

Bila aku angkat tangan pada dia barulah dia tengok tempat lain sambil jeling.

Dari common room ni masuk satu lagi pintu, baru jumpa bilik air utama, dan koridor ke bilik bilik tidur pesakit.

Setiap bilik tidur ada bilik air dan tandas. Ada shower. Semua pintu bilik air cuma separuh, maksudnya kalau orang jengah je dah nampak dekat dalam bilik air. Tiada lock.

Ada beberapa bilik dilabel sebagai “isolation room”. Dalam isolation room bilik airnya langsung tiada pintu.

Setiap bilik ada CCTV. Koridor ada CCTV. Di mana mana ada CCTV. Ada bilik yang seorang pesakit, ada bilik yang dua orang pesakit. Ada bilik yang kosong.

Malam pertama aku tiada bilik. Jururawat tarik katil ke common room untuk aku tidur di situ, supaya boleh dipantau oleh jururawat dari sebalik cermin kaca.

Tapi sebenarnya jururawat pun tidur sekali waktu malam jadi aku rasa aku yang pantau jururawat bukan jururawat pantau aku.

Malam pertama aku tak boleh tidur lena. Aku tak mahu makan pil tidur, mereka pun tak paksa. Jadi malam tu pukul 2 pagi dah terjaga.

Sejuk sebab kipas semua berpusing. Tingkap pun buka. Minta jururawat kecilkan kipas. Tapi masih sejuk.

Baru nak minta jururawat tu kecilkan kipas lagi, tengok dia dah tidur. Jengah ke bilik tu, yang lain semua tidur. Jadi aku jalan jalan pusing wad.

Semua bilik pesakit di lock pada waktu malam. Staff je yang boleh unlock. Hanya bilik air utama yang buka. Jadi aku jalan di koridor dan jengah tengok bilik orang dari cermin pintu mereka.

Ada yang tidur, ada yang tak tidur. Ada satu bilik yang agak istimewa. Bilik itu agak kecil berbanding bilik lain.

Bila jengah ke dalam, ada satu lagi pintu untuk masuk. Bilik ini dilabel sebagai isolation room juga tapi aku tahu ia berbeza daripada yang lain.

Sampai pukul 4 lebih, aku dengar suara jururawat, jadi aku cepat cepat balik katil dan pura pura tidur. Pukul 5 pagi semua pesakit dikejut dari bilik ke bilik untuk bangun mandi.

Kebanyakan pesakit dimandikan oleh jururawat dan PPK di bilik air utama. Fully n4ked from top to bottom for all to see.

Aku dan beberapa pesakit lain pilih untuk mandi di bilik air dalam bilik tidur. Alhamdulillah aku masih ada kewarasan dan tak perlu dimandikan.

Pada siang harinya aku mula mengenali pesakit lain dengan lebih dekat.

Ku perhatikan ada seorang pesakit mengelilingi meja meja di situ tanpa henti. Selang beberapa minit dia akan ketawa sendiri, kadang kadang sampai macam tersembur air liur dia ketawa macam lucu sangat.

Setiap kali dia ketawa, aku toleh tengok dia. Mata dia mesti menghadap ke arah lantai sambil ketawa.

Aku namakan dia J. J bukan orang tempatan. Bapanya bekerja di Malaysia dan J sedang belajar di IPTS. Mereka berasal dari sebuah negara di lautan pasifik.

Ada pula seorang pesakit yang berasal dari negara jiran. Dia tak suka bercakap. Dengan staff pun dia tak suka bercakap.

Kalau waktu makan, dialah yang paling lambat habis. Biasanya bila tak habis dia akan simpan makanan dalam kocek baju.

Kadang kadang ayam, buah, biskut, disimpan dalam kocek. Dia selalu bongkar bakul sampah cari makanan. Biasanya kena marah dengan staff. Aku namakan dia L.

Bila ada keluarga pesakit lain yang bawakan makanan untuk mereka, L mesti jadi orang pertama yang nak mintak.

Pesakit lain beritahu aku L dirgol oleh majikannya dan ditinggalkan begitu sahaja, dan dia tiada permit yang sah.

Aku tak tahu sejauh mana kebenarannya sebab L tak cakap apa apa pada doktor dan polis. Macam mana aku tahu? Sebab staff di situ suka bergosip dan aku suka pasang antena.

L tak suka aku sebab aku budak baru. Hari kedua aku di situ, aku menyaksikan L mengamuk.

L jerit dan meraung, hentak cermin depan jururawat. Cermin tu kalis bunyi jadi jururawat pun cuma dengar sayup sayup je raungan L tu. Aku dan seorang lagi pesakit cuba tenangkan L, bawa L duduk.

“Bikin mati aku kayak gini,” kata L sambil air mata berjurai.

“Aku tu salahnya apa??” tanya L berkali kali.

Tapi dia tak tengok aku, dia tengok pesakit yang seorang lagi tu. Oleh kerana pesakit seorang lagi tu berbangsa Cina, aku cuba cubalah jawab apa yang L cakap tu.

Aku kata, “Kamu gak salah apa apa”.

Terus dipotong oleh L, “Kamu jangan menjawab ya, kamu baru”. Jadi dengan sengih kerang aku pun terdiam.

Dalam wad tersebut, ada dua orang penghuni tetap yang telah tinggal di situ bertahun tahun lamanya. Hospital itulah tempat tinggal mereka setelah dibuang oleh keluarga.

Perkara sebegini bukanlah asing di hospital itu. Ramai lagi penghuni tetap di wad wad lain yang telah tinggal di situ berpuluh tahun kerana tiada keluarga yang sanggup bela.

Seorang daripada dua pesakit ini telah tinggal di situ semenjak tahun 1990an. Usianya menghampiri 60. Rambutnya sudah beruban.

Dia hidup dalam dunianya sendiri. Dia sentiasa bercakap sendiri. Duduk, dia tunduk dan bercakap cakap.

Baring, dia bercakap cakap. Kalau tak bercakap, dia akan tenung orang dengan muka benci dan marah. Oleh itu orang takut nak dekat dengan dia. Dia pun tak suka dekat dengan orang.

Aku namakan dia B. Jururawat pun tak galakkan dekati B sebab jururawat kata B suka lempang orang.

B tak kongsi bilik tidur dengan sesiapa, dia seorang je. Boleh dikatakan tiap malam B kencing di tilam. Kadang di lantai bilik. Pagi pagi lalu bilik B mesti berbau.

Tapi B ni bila orang panggil nama dia, dia akan jawab dengan baik. Dia tahu tugas dia setiap hari, iaitu buka tingkap dan ikat langsir waktu pagi, kemudian tutup tingkap dan buka ikatan langsir waktu nak maghrib. Dia buat ni tiap hari.

Setelah beberapa hari di situ, aku teringin nak tahu apa sebenarnya yang diperkatakan oleh B bila dia bercakap sendirian.

Sebab bila dia bercakap, kita cuma dengar macam dia membebel sorang tapi tak dapat tangkap perkataan yang disebut.

Jadi satu hari tu, aku cuba duduk agak dekat dengan dia. Bersebelah meja, kerusi aku menghadap dia. Aku cuba dengar.

Rupa rupanya dia bercakap dalam tiga bahasa. Bahasa Melayu, bahasa Mandarin, dan bahasa Jawa. Aku faham sikit sikit bahasa Jawa, jadi aku dapat tangkap percakapan dia serba sedikit.

Ada seseorang yang dia marahkan, yang dia maki dalam percakapan tu. Tengah aku cuba nak dengar lebih lanjut, tiba tiba dia angkat kepala. Mata kami bertembung.

Aku senyum sumbing. Mata dia tajam tengok aku. Ok, masa untuk beredar.

Seorang lagi penghuni tetap di wad itu, usianya hujung 30an. Telah kematian ibu bapa.

Adik perempuannya satu satunya saudara yang dia ada. Adiknya telah berkahwin dan tak mahu menerimanya. Telah tinggal di situ sekurang kurangnya belasan tahun. Aku namakan dia P.

P sukakan perhatian. Dia tak suka bila perhatian beralih kepada orang lain. Dia juga kaki buli dan suka cari pasal dengan pesakit lain.

Tangan dan kepalanya penuh dengan parut. Aku pernah tanya kenapa. Dia kata parut itu hasil daripada cubaan untuk lari dari hospital.

Parut di tangan itu disebabkan dirobek kawat berduri yang mengelilingi wad lama. Parut di kepala itu pula baru, hasil bergelut dengan polis bantuan ketika dia buat hal.

Dia beritahu aku jangan main main dengan polis bantuan. Polis bantuan memang ditempatkan di hospital itu. Bukan seorang dua, ramai. Mana mana pergi ada polis. Merekalah yang akan dipanggil jika pesakit buat hal.

Selalu ke pesakit buat hal?

Ingat tak J yang aku cakap selalu pusing keliling meja dan ketawa sorang sorang tu? J selalu buat hal. Dia selalu cuba nak lari.

Kadang kadang dia tendang terajang cermin kaca bilik jururawat. Ada satu kali tu dia tumbuk berkali kali sekuat kuatnya sampai bergegar semua.

Tapi dari situlah aku buat kesimpulan benda yang aku sangkakan cermin tu sebenarnya bukan cermin. Sesuatu yang tak akan pecah dan jauh lebih kuat dari cermin. Aku anggap je lah plexiglass.

Bila J mengamuk macam ni, polis bantuan akan dipanggil. Bukan polis perempuan tapi polis lelaki.

Dan J diberi suntikan di punggung dan di lock dalam isolation room. Kadang kadang lama dia dikurung dalam bilik tu. Dalam bilik J cuma ada tilam sahaja. Mungkin kerana J suka jahanamkan barang.

Sebelum aku masuk wad tu, J dah jahanamkan TV di common room, selipar pesakit lain, pokok puding yang ada di taman wad.

Seorang pesakit yang rapat dengan aku di situ kata, pokok kubur memang patut dijahanamkan sebab tak patut ada dalam taman. Aku sengih.

Sepanjang aku dalam wad, J jahanamkan lantai bilik dia, jam dinding, botol air, buku. Sebelum dia jahanamkan buku tu, elok je dia tanya pemilik buku tu, “Can I borrow your book?”.

Lepas tu dia basahkan buku tu sampai lencun, dikoyak koyak, dan dikunyah penanda bukunya. Kadang kadang J buka botol air milik pesakit lain dan ludah ke dalam tu.

L yang dari negara jiran tu pun suka mengamuk, tapi dia lebih kepada meraung dan menjerit jerit. Masuk hari ketiga, aku dah biasa dah tengok L meraung.

Malam ketiga di situ, aku dapat bilik sendiri. Seronok sebab ada privasi. Pesakit lain tak suka bilik tu sebab dekat dengan boiler room, bising.

Aku suka sebab tak sejuk.

Tingkap bilik aku menghadap wad lelaki. Jarak antara tingkap aku dengan tingkap bilik wad lelaki yang bersebelahan tu cuma dalam 10 meter.

Dari tingkap bilik aku boleh nampak dengan jelas lebih kurang 4 5 bilik. Kadang kadang aku perhatikan gelagat mereka. Ada yang mundar mandir sambil bergayut di telefon. Telefon tu sebenarnya ialah tangan dia.

Ada yang menjerit sekuat hati benda yang sama berulang ulang. Yang ni mula mula aku ok, tapi bila dah berhari hari dengar benda yang sama diulang ulang dengan kudrat jeritan seorang lelaki, aku pun macam nak ikut jerit sama dengan dia.

Sampai sekarang aku ingat apa yang dia jerit tu. Ada tiga suku kata, cuma aku tak faham maksudnya.

Masuk hari keempat di situ, aku dah hafal jadual harian. Pagi bangun, mandi, cek jantung, ambil drah, borak borak dengan pesakit lain, makan ubat, sarapan.

Lepas sarapan, keluar ke taman, bersenam, main games, puzzle, mewarna macam budak tadika, borak borak lagi, minum pagi, tunggu giliran jumpa pakar psikiatri.

Kadang kadang aku ada sesi lain dengan doktor biasa lepas semua doktor pakar beredar.

Tengah hari makan, mandi, lepak bilik orang sambil borak borak macam di asrama, kacau orang, tidur, layan budak budak pelajar yang masuk ke wad.

Setiap hari memang ada ramai jururawat pelajar dan doktor pelajar masuk ke wad, kecuali hari cuti.

Jururawat pelajar akan duduk dengan pesakit, layan pesakit, bawa pesakit bersenam, bermain dan mewarna dengan pesakit.

Doktor pelajar ada yang interview pesakit, study cases, ikut masuk ke bilik sesi perjumpaan doktor pakar dan pesakit.

Petang, minum petang, jumpa keluarga di luar wad kalau mereka datang melawat, bergosip, makan malam, lepas tu tunggu waktu makan ubat. Malam, makan ubat, minum malam, tidur. Selamat malam, dunia!

Hari hari yang mendatang, ini jugalah aktiviti kami.

Sebenarnya terlalu banyak waktu free. Masa inilah yang digunakan sebaik baiknya oleh pesakit untuk cuba lari, mengamuk, menjerit, bergaduh, kacau jururawat, dan sebagainya.

Yang muslim, masih berakal waras, dan tak uzur, bolehlah solat dan baca Quran. Tapi kebanyakan yang masuk dalam tu dalam keadaan kewarasan yang dah berkurang.

Contohnya ada seorang makcik ni, umur dah melebihi 60. Dia masuk beberapa hari lepas aku masuk.

Dihantar oleh ambulans malam hari dari daerah berdekatan. Dia langsung tak ingat apa yang berlaku malam tu, dia kata tiba tiba sedar dah dalam ambulans.

Kami lihat kaki dia lebam dan luka. Dia pun tak tahu kenapa, cuma dia mengadu sakit.

Makcik ni minta dari jururawat untuk balik sebab nak sembahyang di rumah. Dia kata Tuhan suruh sembahyang di rumah. Dia kata telekung dia je yang bersih.

Aku dan pesakit yang rapat dengan aku tu cubalah nak bagi dia telekung, ajak sembahyang di common room.

Dia kata Tuhan tak bagi sembahyang tunjuk tunjuk depan orang. Dia kata kami menunjuk nunjuk bersolat.

Aku fahamlah sebab waktu tu dia dalam keadaan tak stabil. Dia kata ada suara lelaki yang selalu suruh dia buat itu ini.

Dia pernah tanya aku berapa harga sebuah komputer, sebab suara tu suruh dia beli. Aku tengok dekat tapak tangan dia dah tulis “komputer 50 ringgit”.

Sebenarnya nak cerita pasal pesakit, memang esok pun tak habis. Macam macam karenah masing masing.

Ni baru cerita yang ringan ringan, belum lagi kisah pesakit yang nak cuba bnuh pesakit lain. Bukan pesakit je yang banyak karenah, staff pun banyak juga karenahnya.

Di dalam tu, macam asrama pun ada, macam penjara pun ada.

Dengan pagar dan tembok yang tinggi tinggi, jeriji yang kecil supaya tak boleh dipanjat, pengawasan 24 jam, tiada access ke dunia luar, aku agak mungkin macam ni lah rasanya berada di penjara.

Ada pesakit yang tak suka. Ada pesakit yang rasa lebih tenang di situ.

Macam mana dengan aku?

Lepas keluar wad, salah seorang doktor yang merawat aku cuba takut takutkan aku, “Kalau awak buat xxx nanti awak kena masuk semula wad, kali ni lebih lama lagi”.

Memang masa dekat dalam tu aku ada minta pakar untuk keluar lebih awal. Tapi sebenarnya aku juga rasa gembira berada di situ.

Walaupun makanannya tak sedap, walaupun hari hari ada orang menjerit dan mengamuk, walaupun ada staff yang kurang memahami, walaupun ada pesakit yang buat aku nervous, tapi aku melihat pada waktu aku di wad itu dengan suatu perasaan nostalgik.

Kehidupan kat dalam tu amat jauh berbeza dengan kehidupan di luar sana. Dalam tu, politik negara, politik dunia, harta benda, jawatan dan status, taraf pendidikan, semua tiada makna.

Tiada siapa peduli kalau kau baru balik dari percutian termahal kelilingi Eropah. Tiada siapa peduli kalau kau ada 15 orang maid pun di rumah. Tiada siapa peduli kalau kau menang first prize peraduan Mr DIY bulan lepas.

Kerana masalah di kepala setiap pesakit tu jauh lebih hebat dari itu semua.

Ini antara perkara yang membuatkan aku rasa tenang berada di situ. No rat race, no judgement.

Setelah di discaj dan keluar dari kawasan hospital, aku melihat sekelilingku.

Jalanraya, aliran trafik, lampu isyarat, semuanya kembali mengingatkan aku pada sistem di dunia ini yang tidak pernah hilang ketika aku disumbat ke dalam hospital sakit jiwa itu.

Terdetik di hatiku, betapa kompleks nya dunia di luar ini. Betapa kompleks nya sistem yang dibina manusia berjuta juta tahun ini.

Berbanding dengan hidupku di dalam hospital, teramat banyak benda yang indah untuk diteroka di dunia luar ini.

Tapi kenapakah perlumbaan hidup sesama manusia juga yang bersarang di kepala kita? Bukankah dunia ini amat luas?

Semakin jauh dari hospital, aku melihat sekelilingku dengan pandangan yang berbeza dari sebelumnya.

Deretan kedai di bahu bahu jalan yang sebelum ini tiada apa istimewanya, kini ku pandang tak lepas. Ku hayati dengan kesungguhan.

Manusia yang keluar masuk kedai kedai itu ku ekori langkah mereka dengan mataku. Beruntungnya mereka, detik hatiku.

Mungkin mereka tidak terfikirkannya ketika itu, tapi beruntungnya mereka masih mempunyai kebebasan. Beruntungnya mereka masih mempunyai hak untuk menentukan hidup mereka. Beruntungnya mereka masih boleh ke mana mana yang mereka mahu.

Teringat pada pesakit yang masih berada di wad aku ditempatkan. Teringat pada penghuni tetap di situ.

Sampai di rumah, ku sedut udara luar sepuas puasnya, ku pandang langit yang cerah lama lama sampai aku penat mendongak. Subhanallah.

Indahnya sebuah nilai kebebasan.

Sumber – Melankolia (Bukan nama sebenar) via IIUMC

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post